KOREAPICANTO

Mata

5 April 2012

PRU13: Menanti siapakah YB-YB sukarela mahu berundur...

ARKIB UTUSAN : 14/12/2011
Zaini hassan

PADA mulanya, untuk minggu ini, saya tidak berhasrat untuk menulis mengenai UMNO lagi. Sudah terlalu letih orang membaca mengenainya setelah berakhirnya perhimpunan agung parti itu minggu lepas.

Tapi jari-jemari saya tetap mahu menaip mengenainya. Sebelum ini saya telah meminta orang UMNO kembalilah kepada fitrah. Dua siri saya tulis dalam dua minggu sebelum dan semasa perhimpunan itu.

Semuanya mengenai sikap orang UMNO. Semuanya untuk menyedarkan mereka bahawa politik hari ini bukan macam politik dulu lagi.

Politik UMNO dulu ialah politik selipar Jepun. Sesiapa sahaja calon UMNO atau BN akan menang dalam pilihan raya. Hari ini, fenomena selipar Jepun itu sudah beralih.

Fenomena itu beralih kepada pihak underdog, pembangkang. Letak kameraman yang gagap bercakap bahasa Melayu pun boleh menang, sehinggakan calon yang tidak berkempen kerana berada dalam pusat tahanan ISA juga boleh menang. Hatta aktivis haiwan dan alam sekitar pun menang.

Pengundi Melayu pada ketika itu tiada pertimbangan yang rasional. Apabila amarah menguasai diri, apa nak jadi, jadilah.

Sebaliknya bagi UMNO dan BN, pasca PRU12 telah mengubah segala-galanya. Faktor pilihan calon-calon yang tepat amat penting. Pengundi tidak mahu melihat lagi muka-muka UMNO dan BN yang terdahulu. Bukan semua, tapi banyak.

Pengundi Melayu daripada 12 juta itu, sebenarnya tetap masih sayangkan UMNO. Orang muda masih sayangkan UMNO. Semasa saya bersembang dengan pelajar-pelajar universiti, rata-rata mereka terus terang mengatakan mereka masih menaruh harapan kepada UMNO. Tapi dengan syarat.

Mereka mahukan keremajaan dalam UMNO, mereka mahukan kemudaan dalam parti keramat itu. Mereka mahu UMNO direjuvenasikan melalui calon-calon yang baik, baru, berkualiti, beramanah dan ikhlas.

Bukan semua, tapi rata-rata, majoriti daripada mereka mahukan perubahan itu. Mereka mahukan kelainan. Ingatlah orang muda mewakili 40 peratus daripada para pengundi kali ini. Angka itu cukup besar untuk menentukan sama ada hidup atau mati sesebuah parti politik.

Namun, apakah perubahan ini akan berlaku? Apakah ada penyandang-penyandang yang sudah berakar umbi mahu memberi laluan kepada muka-muka baru itu.

Seorang sahabat, yang bukan orang UMNO, tapi beraspirasikan UMNO dan bersimpati dengan parti itu berkata: ‘‘Semangat orang UMNO hanya ketika ucapan Presiden UMNO sahaja, tiga langkah keluar pintu semuanya sudah jadi sejarah...”

Benarkah kata-kata beliau itu. Semuanya sejarah? Sebagai pemerhati pada persidangan itu, saya bersetuju dengan kata-katanya. Semangat mereka hanya tiga langkah sahaja?

Itu pasal sehingga kini tiada mana-mana YB yang sanggup menyahut seruan Presiden mereka supaya berundur diri secara sukarela bagi memudahkan beliau membuat keputusan.

Masing-masing mengambil langkah tunggu dan lihat. Masing-masing merasa bimbang yang teramat sangat kedudukan mereka yang sudah berakar umbi itu akan terlucut atau tumbang dilanda taufan.

Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari akhir perhimpunan itu berkata, sebagai orang UMNO mereka perlu bersedia melakukan apa sahaja demi kepentingan parti termasuk berundur apabila tiba masanya.

Adakah sekarang belum masanya. Jika pilihan raya umum tiga bulan lagi, atau beberapa bulan lagi, atau tahun depan sekali pun, eloklah mereka menyatakan pendirian awal-awal untuk memberi peluang kepada muka-muka baru.

Bukanlah kita katakan mereka itu tidak elok, atau tidak baik. Tapi sudah tentu masing-masing boleh menilai diri masing-masing. Jangan biarkan rakyat yang menentukan penilaian itu di atas kertas undi.

Rakyat mahukan perubahan. Saya sendiri menerima banyak surat yang mahukan UMNO berubah dari segi calon-calon dalam PRU13 ini. Saya amat bersetuju dengan mereka. Jika ada antara calon-calon yang sudah terlalu lama, terlalu selesa, terlalu itu dan ini, berilah peluang orang lain pula.

Lantiklah diri sebagai penasihat kepada calon-calon lain. Calon-calon baru itu tidak semestinya muda, tapi orang baru yang menggantikan orang lama yang sudah terlalu lama.

Jika orang UMNO merasakan mereka benar-benar orang UMNO, maka bantulah Presiden parti untuk membuat pilihan.

Jelas sekali ingatan Najib itu menunjukkan bahawa beliau bukanlah dari jenis Presiden yang kuku besi. Beliau menasihatkan semua Ahli Parlimennya dan ADUNnya yang sudah merasakan terlalu lama, secara sukarela, isytiharkan pengunduran diri masing-masing.

Tiada salah nasihat itu. Malah diri mereka sendiri dan parti keseluruhannya akan lebih dipandang manis dan mulia di mata rakyat.

Juga kepada para pemimpin yang merasakan dirinya terlalu kontroversi dan sudah menjadi satu bebanan atau liabiliti – sama ada – terbukti bersalah atau tidak, silalah berundur, juga secara sukarela. Kita orang Melayu, berpegang kepada adat sopan dan tatasusila Melayu yang amat tinggi nilainya.

Insafilah kata-kata Najib, pertarungan dulu tidak sama dengan pertarungan di medan laga terkini. Pilihan raya kali ini akan menjadi ibu bagi segala pilihan raya yang pernah berlaku dalam negara ini.

Sebagai pemimpin yang bernaung di bawah seorang Presiden parti, hormatilah dan percayalah beliau. Janganlah buat lagi kenyataan dalam akhbar; ‘‘saya serahkan nasib kepada PM’’.

Keputusan di tangan Tuan-tuan YB sekalian. Buatlah sendiri keputusan. Jangan letak tekanan itu kepada Presiden.

Akhir sekali, kami semua pada detik dan saat ini sedang menunggu dengan penuh berdebar-debar, siapa dulu yang akan terkehadapan secara sukarela dan ikhlas berkata: ‘‘Saya sedia digugurkan Datuk Seri Presiden!’’