KOREAPICANTO

Mata

13 Disember 2012

POLITIK SAMSENG or SAMSENG POLITIK!!!

Politik samseng: Jangan gadai maruah kita


BUDAYA politik samseng yang semakin menular di negara ini hakikatnya tidak wajar berlaku. Apatah lagi ia bukan budaya masyarakat Timur yang sekaligus apabila berlaku, menggambarkan budaya politik Malaysia masih tidak matang meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan lebih 50 tahun lamanya.

Hakikatnya, ia hanya mencemarkan tatasusila dan menjatuhkan maruah rakyat Malaysia di mata dunia. Namun, dalam senario politik yang semakin tertekan pada hari ini, parti pemerintah dan pembangkang terpaksa akur, kedua-duanya sudah tidak mampu mengawal gejolak jiwa penyokong masing-masing kerana terlalu taksub kepada pemimpin mahu pun fahaman politik mereka sehingga merelakan pertumparan darah.

Peristiwa terbaru yang berlaku di Gombak Selasa lalu menjadi saksi bahawa semakin ramai rakyat Malaysia gagal mengawal emosi apabila menyentuh hal-hal politik. Malah kes-kes sebelum ini apabila politik menghalalkan apa jua jenis perbuatan termasuk menayang punggung kepada gambar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Di mana maruah kita? Sinar Harian mengambil jalan tengah, menganjurkan satu wacana segar agar kedua-kedua parti, pemerintah dan pembangkang diberi ruang untuk mengupas seterusnya mencari jalan penyelesaian bagaimana budaya politik tidak bermaruah ini dapat ditamatkan. Meminjam kata-kata moderator, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya bahawa seharusnya di Malaysia ini tunjangnya adalah "politik siuman", maka pelbagai pandangan dan punca berlakunya politik samseng ini dilontarkan oleh para panelis jemputan.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai panelis pertama berkata, sebagai sebuah demokrasi, pemilihan pemimpin sepatutnya tidak akan mewujudkan suasana kacau-bilau apatah lagi pertumpahan darah yang membahayakan keselamatan awam. "Namun akhir-akhir ini ada wujud konflik itu," ujar Musa.

Meskipun begitu kata Musa, keadaan ini pada hematnya boleh ditangani sekiranya pemimpin setiap parti politik mampu mengawal penyokong masing-masing dan tidak mencetuskan sentimen tertentu sehingga membawa kepada budaya politik seumpama itu. Musa mengambil contoh bahawa politik samseng seperti berdemonstrasi di jalanan dalam keadaan tidak terkawal bukan cara politik di negara ini.

Malaysia tidak boleh terikut dengan negara-negara luar yang mahu menggulingkan kerajaan semasa dengan mencetuskan huru-hara menerusi reformasi jalanan. "Jangan import cara yang tak betul dari luar untuk menjatuhkan kerajaan," tegas Musa. Dalam hal ini, Musa berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga harus bertindak realistik dan tidak melagakan kedua-dua belah pihak. "Kita perlu mencegah, dulu masa ceramah politik tak ramai pun polis nak kena jaga, dan penceramah politik mengikut teguran namun sekarang pemimpin atau penceramah cabar dari segi arahan polis," katanya.

Sementara, Ahli Parlimen Kuala Selangor, P. Kamalanathan pula menyifatkan budaya politik samseng di negara ini hakikatnya berpunca daripada sikap pemimpin parti politik itu sendiri yang mencetuskan suasana politik sedemikian. "Kawal penyokong satu keperluan tapi sebelum itu kena kawal diri sendiri, tak boleh jadi pencetus kepada masalah. Kena jadi pemimpin cuba selesaikan masalah," ujar beliau. Menurut Kamalanathan, memang benar penyokong akan bersikap fanatik untuk memenangkan parti yang mereka sokong, namun untuk mencorakkan dengan cara bagaimana penyokong boleh bertindak adil dan saksama, itu adalah tugas pemimpin parti tersebut.

"Kita harus memenangi hati pengundi dengan cara paling sopan."Bukan lemparkan fitnah, menghasut tetapi beritahu pengundi inilah perancangan saya pada masa depan," tegas pemimpin muda itu lagi. Ketika ditanya apakah budaya politik samseng di negara ini didorong oleh kegerunan terhadap pembangkang yang dilihat berpotensi untuk mentadbir Malaysia, Kamalanathan berkata, hakikatnya, dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini semua parti berpotensi untuk menang.

"Apabila PRU semua calon mahu menang, peluang menang tetap ada. Sebab itu cuba buat apa yang patut untuk menang," ujar beliau. "Kami juga bawa pembangkang bersama-sama. Beri ruang dan peluang untuk ambil bahagian ikut majoriti dalam Parlimen. Kena sedar pada akhirnya rakyat yang buat keputusan," tegas beliau.

Oleh itu katanya, satu bentuk memorandum persefahaman (MoU) perlu diadakan antara calon-calon yang bertanding dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelakkan salah faham dan budaya politik samseng ketika PRU13 nanti.

Sementara Penasihat Undang-undang Pas, Hanipa Maidin berpandangan budaya politik samseng tidak akan berlaku sekiranya rakyat di negara ini menerima kepelbagaian idea dan perbezaan ruang pendapat dalam arena politik negara.

Seharusnya kata ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat itu, perbezaan pegangan dan pandangan politik seseorang itu sepatutnya dilihat sebagai satu pertembungan yang sihat.

"Seseorang yang berkepentingan sepatutnya memasarkan ideanya dengan lebih baik mengikut saluran yang sepatutnya, biarlah rakyat dan masyarakat umum menilai sejauh mana idea itu boleh diguna pakai atau boleh diterima secara rasional,” kata beliau pada Wacana Sinar Harian, "Politik Samseng Di Mana Maruah Kita" di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini, semalam.

Namun Hanipa tidak menolak kemungkinan wujudnya budaya politik samseng ini berkemungkinan hasil daripada kongkongan yang dilakukan dalam demokrasi politik negara ini. Keadaan ini menjadi lebih parah apabila sesuatu pihak itu melihat idea pihak lain sebagai ancaman kepada mereka. "Mereka selalunya merasakan idea mereka tak diterima, mereka tidak senang dan iri hati dengan idea orang lain, maka timbul politik samseng," katanya.

Sementara, Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh pula menyifatkan hakikatnya, rakyat di negara ini semakin muak dengan budaya politik yang tidak ketahuan seperti hari ini. Rakyat sudah "jelek" katanya dengan politik Malaysia sambil menambah "(seramai) 35 peratus mengatakannya, bukan hanya orang Umno, orang yang menyokong Pas, dan orang yang menyokong DAP juga... memandangkan arena politik kita ini tidak menyumbang kepada pembangunan negara.

"Hanya bertelingkah, sibuk hendak mendapatkan kuasa sahaja," tegas Tap. Bahkan menurut Tap, hasil daripada kajian yang dilakukan oleh pihaknya, raka-rata rakyat Malaysia mengharapkan politik Malaysia berubah. Mentaliti pemimpin politik dan penyokong politik juga harus berubah. Rakyat Malaysia mahukan politik baru. "Tafsiran politik samseng itu, masih menjadi kegagalan hingga hari ini, politik di negara ini masih perlukan penambahbaikan," jelas Tap.  Berdasarkan pandangan mereka yang langsung terlibat dalam arena politik negara termasuk bekas seorang penguatkuasa, sudah tiba masanya, ahli politik dan penyokong masing-masing, bermuhasabah tentang politik bagaimana yang ingin kita warisi kepada anak cucu kita pada masa hadapan.

 Renung-renungkanlah... Tepuk dada tanyalah hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan