KOREAPICANTO

Mata

12 Februari 2013

'Pas cukup sayang DAP'




Pas tidak mempunyai keberanian untuk keluar daripada pakatan pembangkang kerana parti itu terlalu bergantung kepada DAP.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis berkata, Pas cukup sayang kepada DAP sehingga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sanggup meraikan sambutan hari lahirnya bersama Pengerusi DAP, Karpal Singh.

"Pas takut kalah kalau keluar daripada pakatan pembangkang, jadi takkan hendak 'bercerai' dengan DAP.

"Bercerai dengan Nasharudin (bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa) tidak apa tetapi bukan dengan Karpal," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Dr. Mahathir melancarkan buku bergambar bertajuk Antarctica: Malaysia's Journey To The Ice oleh Pusat Penyelidikan Nasional Antartika di Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Malaya (UM), di sini hari ini.

Yang turut hadir, isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon dan Pengarah Pusat Penyelidikan Nasional Antartika, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah.

Beliau mengulas desakan Nasharudin supaya Pas meninggalkan pakatan pembangkang dan bergerak bersendirian bersandarkan kekuatannya jika mahu kekal relevan sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Tegas Nasharudin, kerjasama dengan PKR yang membabitkan pengaruh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hal ehwal dalaman telah melunturkan kekuatan Pas.