KHADIJAH (bukan nama sebenar) sering diserang sakit kepala, tangan, kaki dan perut yang teramat sangat secara tiba-tiba dengan tanpa sebab.
Kesakitan itu pada mulanya tidak diambil serius kerana menganggap hanya sekadar lenguh biasa. Namun, semakin lama dirasakan semakin kritikal.
Seperti kebiasaan, Khadijah yang bertugas sebagai hakim di salah sebuah mahkamah akan merujuk dan mendapatkan rawatan daripada doktor untuk mengesan jika dia menghadapi sebarang penyakit.
Malangnya, usaha Khadijah untuk mengetahui permasalahan yang dihadapi itu hanya mendapat maklum balas biasa.
Doktor yang mengatakan dirinya hanya keletihan melakukan kerja harian dan perlu mendapatkan rehat yang cukup.
Khadijah yang pada mulanya membiarkan. Namun, lama-kelamaan penyakit misteri yang dialami Khadijah kian membimbangkan sehingga menganggu aktiviti harian gadis pertengahan 30 tahun itu.
Bukan itu sahaja, niat sucinya untuk bergelar isteri juga tidak kesampaian apabila perkahwinannya berakhir dengan perceraian walaupun baru di awal perkahwinan.
Bukan seorang, tetapi nasib sama turut dihadapi oleh Khadijah kepada suami keduanya. Akhirnya, Khadijah mengambil keputusan untuk berubat cara tradisional menggunakan kaedah perubatan Islam.
Berkongsikan kisah Khadijah, pengamal perubatan, Dr. Jahid Sidek berkata, selepas beberapa kali menjalani rawatan awal, ia dikatakan berpunca daripada gangguan saka yang diwarisi oleh ibu dan keturunannya.
Namun pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah itu berkata, yang hairannya selepas beberapa rawatan, Khadijah menunjukkan tanda sihat tetapi hanya sementara.
"Khadijah dirawat oleh murid-murid saya yang membantu merawat pesakit di pusat perubatan itu. Pada mulanya, mereka mengenal pasti dan percaya ia berpunca daripada kesan gangguan mewarisi saka.
"Tetapi, hairannya rawatan yang dilakukan seperti tidak berkesan. Semasa proses rawatan, dia kelihatan sembuh. Tetapi apabila pulang beberapa hari penyakit itu dirasai semula," katanya ketika ditemui.
Hinggalah pada satu malam, Khadijah menghubungi saya mengadu sakit yang teramat sangat pada bahagian perut sehingga dirasakan seperti disiat-siat.
"Saya menyuruh mangsa ke pusat rawatan pada keesokan harinya. Sejak itu, saya sendiri yang merawat mangsa. Selepas disoal selidik dan berkomunikasi dengan makhluk di dalam tubuh mangsa, kami mengesan ia sebenarnya bukan kerana saka, tetapi kerana terkena buatan orang.
"Inilah kesan dipercayai angkara tidak puas hati kepada Khadijah yang telah tersalah menjatuhkan hukuman kepada orang yang tidak bersalah.
"Saya percaya berkemungkinan makhluk yang masuk ke dalam tubuh dia adalah daripada orang yang tersalah dijatuhkan hukuman tersebut," katanya.
Tambah Jahid, mujur dibantu oleh amalan Khadijah yang tidak pernah meninggalkan solat dan selalu bangun mengerjakan ibadah malam membuatkan makhluk itu tidak dapat mengapa-apakan mangsa.
"Makhluk dalam badan Khadijah mengatakan tidak mahu keluar daripada badan mangsa. Ini kerana dia belum selesai menjalankan tugasnya iaitu menyiksa mangsa sehingga meninggal dunia.
"Ketika berdialog bersama makhluk itu, dia mengakui tidak mampu melakukan apa-apa kecuali menjejas mangsa pada empat bahagian tubuh iaitu di kepala, tangan, kaki, dan perut kerana amalan yang diamalkan oleh mangsa pada setiap hari.
"Sehinggakan perkahwinan Khadijah bersama dua suaminya berakhir dengan penceraian kerana makhluk di dalam tubuh itu bertindak ganas kepada suami mangsa," jelasnya.
Hasil dialog itu juga, Jahid berjaya menyelongkar punca rasukan tersebut yang dihantar menggunakan barang dan diletakkan di sekitar rumah mangsa.
Selepas dimusnahkan puncanya, mangsa akhirnya berjaya disembuhkan dan kini telah berkahwin dan masih bertugas sebagai seorang hakim.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130910/ba_01/Akibat-tersalah-menghukum#ixzz2ejMYQfTE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan